65 tahun Rejimen ke-10—Perang dihutan damai sudah, perang kelas makin membara

ditulis oleh Mat Hassan 2014

Ini adalah sebuah tulisan sempena memperingati 65 tahun penubuhan Rejimen Ke-10 TPRM. Namun jauh sekali untuk mempersembahkan naratif sejarah Rejimen-10. Tulisan ini lebih kepada bertujuan untuk bertanyakan kaum muda, yang hidup dizaman sekarang didalam keadaan latar yang berbeza, bagaimana mereka ingin membina gerakan dan mengharungi perang kelas dizaman yang mencabar ini.

“Seluruh lembaran sejarah masyarakat manusia yang wujud setakat hari ini adalah merupakan sejarah perjuangan kelas”- Marx dan Engels

“Kita orang proletariat, pagi-pagi harus belajar dahulu”— itu kata-kata SutanDjenain, seorang anggota Sarekat Islam Merah Indonesia kepada Abdullah CD dalam pertemuan mereka di ‘Rumah Merdeka’,Kampong Baru,Kuala Lumpur lebih 60 tahun dahulu. Maka melalui pelajaran timbul kesedaran dan daripada kesedaran akan membara api perjuangan. Tidak berapa lama selepas itu, pada tanggal 21 haribulan Mei 1949, terbinanya satu pasukan pahlawan revolusioner yang didirikan khas untuk menghimpun putera puteri Melayu terpuji yang berani berdiri dan melawan dihadapan kuasa imperial yang amat kuat dari segi persenjataan dan logistik. Namun mereka bertempur dengan gagah dan bermaruah demi membebaskan tanah air mereka daripada penindasan penjajahan.

Coretan ini merupakan sebuah catatan penghargaan buat generasi para pejuang, bersempena sambutan ulang tahun yang ke 65 pasukan Rejimen ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya TPNM. Pasukan tentera revolusioner yang punya sejarah juang yang cemerlang ini telah melahirkan ramai pahlawan rakyat yang terbilang. Nama-nama seperti Abdullah CD sebagai penaja dan pemimpin pasukan ini, Suriani Abdullah, Rashid Maidin, Abu Samah, Siti Norkiah, Pak Hatta dan ramai lagi putera-puteri terpuji kelas proletar dan anak tani miskin yang sama bertitik peluh menumpah darah melawan kuasa imperialism yang menindas.

Coretan ini bukan bertujuan untuk bercerita dengan gaya romantis tentang sejarah perjuangan Rejimen ke-10 kerana sejarah para pahlawan rakyat ini sudah banyak dibukukan dan sebagai generasi baru, penulis tidak berada ditempat yang layak untuk menjadi tukang ceritanya. Namun tulisan ini ingin mengajak generasi muda yang sama dengan penulis untuk memahami erti kesedaran yang ada pada sanubari setiap pahlawan yang bangun melawan. Amat penting buat generasi baru untukmengerti akan kesedaran ini dan bagaimana mereka mendapatkan kesedaran tersebut. Semoga sebagai kaum muda kita semua dapat mengambil manfaat dan kesedaran demi meneruskan perjuangan suci mereka didalam situasi zaman baru ini yang mungkin tidak sama tapi sebenarnya semakin mencabar.

Untuk itu kaum muda harus memahami dari mana asal sumbernya penindasan yang bisa dilihat dalam masyarakat hari ini. Segala penindasan dan penjajahan ini adalah satu manifestasi pertentangan kelas yang sentiasa bertali arus diantara yang menindas dan yang tertindas. Segala bentuk penindasan ini jika diteliti dengan mata metarialis, bisa dilihat dengan amat jelas bahawa ia adalah berpunca daripada satu sumber— iaitu modal atau KAPITAL!

Perang tanpa penghujung

“Seluruh lembaran sejarah masyarakat manusia yang wujud setakat hari ini adalah merupakan sejarah perjuangan kelas”. Itu kata Karl Marx dan Frederick Engels didalam karya agong mereka Manifesto Komunis atau the Communist Manifesto yang diterbitkan buat julung kali pada tahun 1848. Manifesto Komunis adalah dokumen penubuhan dan permulaan gerakan komunis diseluruh dunia, dan masih merupakan teks yang wajib dibaca oleh pekerja dan kelas tertindas demi memahami realiti dan akar umbi setiap permasalahan dan kontradiksi yang dibawa oleh sistem produksi kapitalisma.

Didalam setiap zaman sejarah pembangunan masyarakat manusia, pertentangan diantara kelas manusia yang ada disetiap zaman tersebut tiada pernah surut dan reda—kelas hamba abdi dan tuan mereka pada zaman perhambaan, kelas tani dantuan tanah pada zaman feudal, kelas pekerja dan kapitalis pada zaman perindustrian dan tak lupa juga manusia terjajah dan kuasa imperialisma dizaman penjajahan Eropah keatas dunia Afrika, Asia dan benua Amerika. Ini semua adalah manifestasi pertentangan kelas yang mewakili setiap zaman melalui kondisi material yang berbeza. Sebagai contoh, keinginan hamba abdi untuk hidup bebas,beranak pinak dan mengumpul harta seperti manusia merdeka adalah bertentangan dan bisa membawa bencana terhadap kehidupan tuan mereka. Begitu juga kaum miskin yang sentiasa dimuatkan kepala mereka dengan kata-kata bahawa mereka sudah ditakdirkan miskin dan ia memang fitrah bahawa ada yang miskin dan ada yang kaya tanpa mengambil kira bahawa kemiskinan adalah produk masyarakat dan sudah diterima luas di kalangan ilmuan bahawa kemiskinan itu adalah politikal. Sama juga dizaman sekarang ini dimana keinginan pekerja terhadap akta gaji minima mengancam kaum pemodal—akta gaji minima sudah membuatkan mereka histeria, bayangkan lah jika para pekerja menuntut bahagian mereka yang saksama keatas kuntungan dan juga pengurusan syarikat?

“Like slavery and apartheid, poverty is not natural. It is man-made and it can be overcome and eradicated by the actions of human beings.”- Mandela.

(Seperti perhambaan manusia dan apartheid, kemiskinan bukan fitrah. Ia adalah hasil perbuatan manusia dan boleh dihapuskan melalui aksi manusia)

Semua contoh pertentangan kelas diatas walaupun mewakili zaman-zaman pembangunan masyarakat yang berbeza, ia mengajarkan satu hakikat yang tidak bisa disangkal; pertentangan diantara kelas-kelas ini sampai kiamat pun tidak akan bisa didamaikan seperti perumpamaan ‘tidur sebantal tapi mimpi lain-lain’. Namun,satu lagi karektor penting bagi pertentangan kelas ini yang harus difahami adalah ia berbasiskan material; material yang membentuk minda, bukan disebaliknya.

Jadi, demi menjaga kepentingan dan meneruskan cengkaman kelas yang menindas itu keatas kelas yang tertindas (hamba, kaum tani, pekerja dan sebagainya), kelas yang menindas pada setiap zaman sudah pasti memerlukan instrumen-instrumen, perkakas dan jentera yang bisa menjaga kepentingan kelas mereka supaya tidak bisa diancam oleh kemahuan-kamahuan, keinginan dan cita-cita kelas tertindas.(Jadi didalam masa yang sama kelas pekerja juga harus mencari apakah alat yang boleh mempertahankan diri mereka; bangunkan organisasi pekerja, belajar dan berjuang).

Instrument-instrument tersebut boleh dilihat dalam bentuk struktur sebuah negara, bala tentera, polis dan jabatan-jabatan birokratik yang bekerja demi memastikan tiada tentangan daripada kelas yang tertindas, dan jika ada tentangan maka ia akan dipatahkan.Selain daripada instrumen-instrumen tersebut, kelas penindas juga menggunakan ilmuan dan institusi-institusi ilmu untuk melahirkan norma sosial atau social norm yang bertindak untuk melalikan kaum tertindas terhadap penindasan yang diletakan keatas kepala dan bahu mereka setiap masa. Contohnya hamba abdi diberitahu bahawa mereka sememangnya sudah ditakdirkan oleh tuhan dilahirkan sebagai hamba dan itu lah tugas mereka didunia ini untuk memperhambakan diri kepada tuan mereka. Manakala kaum pekerja diberikan gambaran bahawa mereka tiada hak keatas keuntungan majikan dan syarikat  kerana ‘upah’ mereka sudah dibayar sepadan dengan keringat yang mereka tumpahkan dalam menghasilkan sesuatu barangan.

Namun Karl Marx melalui teori nilai buroh atau thel abour theory of value telah memecahkan pembohongan ini dan telah menanggalkan rupa sebenar kapitalisma melalui kontradiksi-kontradiksi yang bisa dilihat dengan pemerhatian yang dekat. Kelas kapitalis yang hanya terdiri daripada satu peratus dikalangan seluruh populasi dunia, melalui jentera dan instrumen yang dimiliki mereka,siang dan malam tanpa henti cuba mengingatkan kelas pekerja bahawa mereka telah mendapat upah yang setimpal dengan pekerjaan mereka, dan didalam masa yang sama cuba menutup dan manafikan kewujudan nilai yang kekal didalam setiap barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh mereka, yang sebenarnya adalah berasal daripada titik peluh malah darah pekerja.

Jadi adalah menjadi tanggungjawab manusia daripada kelas pekerja yang sedar akan realiti perlawanan kelas ini untuk menelanjangkan rupa buruk sistem kapitalismayang telah mendatangkan banyak penyakit dikalangan masyarakat manusia diduniaini. Engels didalam tulisannya yang berjodol ‘Sosialisma: Utopia dan Saintifik’ atau Socialism: Utopian and Scientific telah menggariskan dua cara untuk menanggalkan topeng yang dipakai kapitalisma dan mendedahkan realiti wajah sebenar sistem itu—

1) menerangkan metod atau cara produksikapitalistik dalam hubung kait sejarahnya dan juga kewujudannya yang memangtidak bisa ditanggalkan dalam sesuatu period sejarah, maka sama juga akankehancurannya yang sememangnya tidak akan bisa di elak.. dan

2) mendedahkan karektor pentingkapitalisma yang bagi sesetengah orang masih lagi merupakan suatu rahsia—iaitudengan penemuan surplus value.

Keadaan semasa di negara kita

Negara kita mencapai “kemerdekaan” pada tahun 1957. Maka saban hari, kelas elit yang memerintah Malaysia tidak berhenti mencurahkan propaganda mereka dengan mengatakan bahawa mereka lah yang membebaskan negara ini daripada penjajahandan melaungkan dengan bangganya bahawa tiada setitis darah pun yang ditumpahkan demi mencapai kemerdekaan tersebut. Namun, sikap hipokrit mereka lewat hari ini semakin hari semakin terdedah dengan sendirinya kerana banyak kontradiksi didalam naratif mereka. Semakin ramai dikalangan kelompok anak muda yang semakin rajin dan berani menelusuri lembaran sejarah yang sebenar telah menemui banyak percanggahan dengan propaganda yang disampaikan oleh jentera-jentera kelas elit pemerintah ini. Pada hakikatnya ramai dikalangan anak watan yang sedar telah bangkit menyertai perang revolusioner menentang kuasa imperial British dan ramai dikalangan mereka yang gugur dengan gagah dan bermaruah.

Walaupun negara merdeka akan tetapi kelas pekerja dan kaum miskin tetap berterusan tertindas. Ini adalah kerana sistem kapitalis adalah sistem dominan dan sistem ini tidak boleh berdiri tanpa penindasanTiada kapitalisma tanpa penidasan!. Data pada tahun 2010 menunjukkan bahawa 48% pekerja di Malaysia menerima gaji bulanan tidak sampai RM1000. Inilah hakikatnya bagi negara yang merdeka lebih daripada lima puluh tahun.Merdeka apakah apabila manusia dikota terpaksa bersusah payah dengan gaji RM700 sebulan? Tidak cukup dengan bebanan itu, kelas pekerja dan orang miskin di Malaysia kini bakal dibebani dengan cukai barangan dan perkhidmatan iaitu GST.Segala barangan dan perkhidmatan yang dibeli akan dikenakan cukai sebanyak enam peratus dan kelas elit pemerintah dan jentera upahan mereka dengan bersahaja cuba untuk membodohkan rakyat bahawa kononnya cukai enam peratus tersebut tidak akan menaikkan harga barangan. Siri-siri “penjelasan” dilakukan diseluruhnegara dan melalui rangkaian media cuba untuk mengelirukan rakyat dengan terma-terma yang langsung tidak difahami oleh mereka.

Masa depan tampak seakan tidak akan menjanjikan sinar bahagia kepada kelas pekerja dan kaum tertindas di Malaysia. Kuasa imperialis Amerika seakan mengintai-ngintai peluang untuk mencengkam rantau ini melalui perjanjian pasaran bebas Trans-Pasific Partnership Agreement (TPPA). Perjanjian ini pada permukaannya menawarkan kelebihan pada setiap negara yang terlibat dari segi mencapai pasaran yang luas untuk produk keluaran mereka. Namun hakikatnya bagi sesetengah komentator yang akan menjadi mangsa tersepit didalam perjanjian iniadalah kelas pekerja dan kaum miskin. Ada juga yang menggambarkan bahawa TPPA bukan sekadar perjanjian dagang, tetapi ia melebihi tentang strategi geo-politik Amerika didalam mendepani kuasa China yang semakin meningkat.

Namun walau apa pun rumusan dan komen terhadap perkara-perkara yang disebutkan itu,yang menanggung bebanan dan yang semakin tertindas adalah kelas pekerja dan kaum miskin diseluruh negara. Polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti GST adalah manifestasi pertentangan kelas yang nyata. Ia adalah hasil daripada huru-hara didalam krisis kapitalisma peringkat global yang sedang dialami.Kelas pekerja terpaksa membayar kos krisis yang dimulakan oleh kelas elit kapitalis.

Tanggungjawab generasi muda

Memandangkan ramai dikalangan generasi muda kita semakin sedar akan kontradiksi sistem kapitalis ini dan juga realiti pertentangan kelas yang tiada akan bertemu damai, apakah tanggungjawab generasi muda? Apa yang harus dilakukan? Seperti yang dibincangkan dari awal tugas pekerja adalah menelanjangkan wajah sebenar kapitalisma, tapi bagaimana?

Suasana politik dan ekonomi Malaysia ketika ini, sama seperti diseluruh dunia adalah arena yang sesuai dan subur untuk menyemai benih perjuangan kelas memandangkan keadaan nasib pekerja di negara ini dan seluruh dunia yang semakin terhimpit didalam krisis yang masih tiada jalan keluarnya. Tugas generasi muda adalah bersama kelas pekerja dan menerangkan kepada mereka bahawa pertentangan kelas dan kesengsaraan yang dihadapi mereka adalah berpunca daripada sistem kapitalisma yang menindas ini.

Generasi muda dikalangan kelas pekerja yang sedar akan realiti ini wajib bergabung atau duduk berbincang bersama, bangunkan organisasi pekerja dan berorganisasi dibawah organisasi tersebut, sediakan alternatif  kepada sistem politik borjuis untuk melawan kearah kebebasan kaum pekerja. Mereka harus bangun untuk merubah nasib mereka kearah satu alternatif—Sosialisma!

65 tahun Rejimen ke-10—Perang dihutan damai sudah, perang kelas makin membara

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s